Rabu, 5 Jun 2013

Bernama : Buat Aduan Jika Tidak Puas Hati - NCCC

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Membuat aduan merupakan cara paling terbaik untuk mengenal pasti masalah.

Bagaimanapun, untuk mendapatkan pengguna tampil membuat aduan sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan barangan atau perkhidmatan yang dilanggani merupakan isu paling mencabar bagi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC).

Menurut Pengarah NCCC, Darshan Singh, bagi mendapatkan hasil yang terbaik, pengguna mesti bersatu dan berjuang untuk mempertahankan hak mereka sebagai pengguna jika ia dicabul.

"Kita perlu menyuarakan kerisauan kita. Sebagai contoh, dua isu yang menarik perhatian kita dan memerlukan usaha serius untuk menanganinya ialah Kes-kes Gores dan Menang serta Penipuan SMS.

"Kita hanya boleh membuat kerja yang berkesan apabila pengguna mengemukakan aduan kepada kita. Dengan ini juga kita boleh melihat tindakan-tindakan pro-aktif yang diambil oleh pihak yang berkenaan. Tanpa rintihan atau rungutan orang awam, pihak berkuasa atau agensi penguatkuasaan akan mengabaikan isu tersebut," beliau memberitahu Bernama.

Pihak kerajaan telah mengharamkan sebarang bentuk peraduan Gores dan Menang sejak awal Disember tahun lepas.

MAKIN BANYAK KESEDARAN 


Sejak NCCC ditubuhkan pada pertengahan 2004, bilangan aduan yang diterima semakin meningkat.

Menurut Darshan, semakin banyak pihak termasuk syarikat sudah mula mengiktiraf kewujudan NCCC serta perkhidmatan yang ditawarkannya.

Tambahnya, ini dapat dilihat melalui kepantasan sesetengah syarikat bertindak kepada aduan orang ramai yang dikemukakan oleh NCCC bagi mendapatkan penyelesaian.

"Pihak berkuasa atau agensi penguatkuasaan sudah mula bekerja rapat dengan NCCC. Ini sememangnya apa yang kita harapkan. Dewasa ini hampir 70 peratus aduan pengguna yang diterima diselesaikan di peringkat NCCC. Kesimpulannya kita mahu melihat semua pihak hidup secara harmoni.

"Dalam erti kata lain, pengguna mendapat perlindungan terbaik, syarikat pula memperolehi keuntungan yang lumayan sementara unit penguatkuasaan menghapuskan golongan peniaga yang menipu pengguna," tambahnya.

Darshan menegaskan syarikat perlu membangunkan mekanisme pengendalian aduan yang berkesan dalam ruang lingkup organisasi mereka supaya rintihan serta rungutan pengguna dapat ditangani secara berkesan dalam jangka masa sesingkat mungkin.

"Apa yang penting hasilnya menang-menang untuk semua," katanya.

MEMBIMBING PENGGUNA 

Dalam masa yang sama, Darshan berkata NCCC akan meneruskan usahanya untuk melatih pengguna mengenai cara-cara untuk mendapatkan ganti rugi.

"Apa yang kita lakukan adalah untuk membimbing pengguna untuk menulis kepada agensi yang berkenaan serta menghantar satu salinan kepada pihak kami sebagai rekod. Kami memerlukan salinan aduan ini untuk mengenal pasti isu secara berkesan," jelasnya.

Yang penting, kata Darshan, pengguna perlu dididik supaya mereka tidak perlu bergantung kepada mana-mana pihak ketiga untuk bertindak bagi pihak mereka.

"Bukan mudah untuk mencapai tahap ini dan proses ini akan mengambil masa beberapa tahun. Kita perlu menjadi sebuah masyarakat pengguna yang maju dan untuk mencapai aspirasi ini, pendidikan adalah unsur yang penting," katanya.

Menurut Darshan, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah untuk mendapatkan orang ramai berminat dalam isu-isu berkaitan pengguna.

"Ini adalah cabaran yang besar. Dewasa ini majoriti pengguna Malaysia menganggap isu pengguna sebagai satu perkara yang remeh. Kebanyakan mereka tidak mahu membesar-besarkan isu. Sesetengahnya hanya merasa risau apabila mereka secara langsung terjejas dan perlu mendapat ganti rugi.

"Mereka tak faham dengan globalisasi dan liberalisasi ekonomi, kita dihujani dengan pelbagai barangan dan perkhidmatan. Sekiranya kita tidak mengambil usaha untuk mendapatkan pengetahuan, tidak dapat tidak, lambat-laun kita akan diperdaya," jelas Darshan.

ISU YANG BERULANG 

Kebanyakan isu yang dihadapi pengguna Malaysia adalah isu yang berulang-ulang. Ini adalah analisis yang dibuat oleh Darshan.

Bagaimanapun, beliau berpendapat dengan semakin banyaknya perbincangan mengenai harga barangan dan perkhidmatan secara aktifnya dibahas, pihaknya menjangka isu kos kehidupan akan menjadi perkara utama pada 2008.

"Dengan ini kami jangka lebih banyak aduan mengenai kenaikan harga akan diterima tahun ini," tambahnya.

Dalam masa yang sama, Darshan berharap pihak berkuasa berkenaan akan mengambil segala langkah yang perlu untuk memastikan masyarakat perniagaan tidak akan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan dengan sewenang-wenangnya.

"Pada masa ini, kementerian berkenaan hanya mengambil tindakan terhadap peniaga yang tidak mempamerkan harga barangan. Tidak ada undang-undang untuk kegiatan mengambil untung. Sehingga kini tidak ada definisi mengenai pengambilan untung. Berapa banyak kenaikan boleh dianggap sebagai mengambil keuntungan?

"Apa yang boleh dibuat Kementerian tersebut hanyalah membatalkan lesen perniagaan mereka. Untuk itu adalah penting bagi Kementerian berkenaan mempercepatkan langkah memperkenalkan Akta Perdagangan Adil yang dapat menangani isu pengambilan untung," gesa Darshan.

KUASA PENGGUNA 


Bagaimanapun, kuasa adalah di tangan pengguna. Jika mereka merasakan ada tempat perniagaan menaikkan harga sesuka hati adalah menjadi tugas mereka untuk memulaukan peniaga-peniaga tersebut. Bukan setakat itu sahaja, mereka juga perlu memaklumkan kepada rakan-rakan mereka supaya jangan mengunjungi premis berkenaan.

Untuk itu pengguna perlu berganding bahu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Laporan perlu dikemukakan dengan bahagian Penguatkuasaan Kementerian dan tindakan serta-merta perlu diambil oleh pegawai-pegawai penguatkuasa. Tiada gunanya untuk mana-mana pihak menuding jari.

Menurut Darshan, semangat perpaduan atau kesetiakawanan perlu wujud di kalangan pengguna.

"Kita sering bercakap mengenai perpaduan negara dan seterusnya tetapi kita jangan lupa perpaduan di kalangan pengguna," katanya.

ADUAN YANG DITERIMA 

Buat pertama kali sejak ditubuhkan, NCCC telah menerbitkan Laporan Tahunannya yang pertama, yang mengandungi kajian semula serta analisis semua aduan pengguna yang dikemukakan kepadanya sepanjang tahun.

Sejumlah 18,345 aduan diterima pada 2006 dan untuk 2007, bilangan aduan dijangka meningkat 15 peratus.

NCCC telah menyenarai jumlah aduan 2006 kepada 23 kategori dengan aduan paling banyak iaitu 1,578 dalam kategori perumahan, diikuti jualan langsung (1,499), pendidikan tinggi swasta (1,453), syarikat pengurusan hartanah (1,325), telekomunikasi (1,297), produk yang cacat dan rosak (1,032) serta jualan murah (1,003).

Dari segi kaum yang membuat aduan, menurut data yang dikumpul NCCC, orang Melayu paling ramai mengemukakan aduan iaitu 67.7 peratus (12,402), diikuti orang Cina 23.5 peratus (4,315) dan kaum-kaum lain, 0.9 peratus (169).

FAEDAH MAKLUM BALAS 

Ketua Pegawai Eksekutif NCCC, Datuk Marimuthu Nadason menyifatkan usaha untuk menerbitkan Laporan Tahunan itu sebagai usaha untuk menarik perhatian industri dan agensi penguatkuasaan mengenai jenis masalah yang dihadapi pengguna.

"Maklum balas ini akan dapat membantu industri untuk mengenal pasti perkara-perkara yang tidak memuaskan pengguna yang boleh memperbaiki produk dan perkhidmatan mereka.

"Agensi penguatkuasaan juga boleh mendapat faedah daripada maklum balas ini dari segi meminda dasar, prosedur dan peraturan yang dapat memberi impak kepada pengguna," katanya dalam perutusan yang terkandung dalam Laporan Tahunan 2006.

Marimuthu yang juga Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menambah maklumat yang dikumpul juga memberi peluang kepada FOMCA untuk memperjuangkan perubahan dasar dalam bidang-bidang yang berkenaan.

Bentuk menerima aduan yang disediakan oleh NCCC ialah panggilan telefon 03-78779000/03-78748096, atau datang sendiri ke pejabat (alamat No 1D, Jalan SS9A/17, 47300 Petaling Jaya, Selangor atau e-mel (nccc@nccc.org.my), e-aduan (www.nccc.org.my) atau faks: 03-78748097)

-- BERNAMA

Penyebaran SMS Iklan Kepada Pengguna Telefon Sedang Dikaji

KUALA LUMPUR: Kemeterian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sedang melihat kepada penyebaran iklan menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) bagi mengelakkan pengguna diganggu oleh mesej yang diundang.
Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kementeriannya telah menerima banyak aduan berhubung penyebaran iklan melaui SMS kerana ada di antaranya mempunyai unsur seks.
"SMS yang dihantar kepada pengguna telefon sepatutnya tidak mengandungi mesej ingin memasarkan sesuatu produk,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Sektor Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur bagi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di sini pada Selasa.
Rais berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menilai aduan berkenaan serta berunding dengan syarikat telekomunikasi bagi mencari jalan penyelesaian.
Beliau turut mengesahkan, kementeriannya akan menilai kembali kos memuat turun lagu secara atas talian bagi memastikan syarikat rakaman serta penyanyi mendapat keuntungan sepatutnya daripada transaksi tersebut.
Rais turut menasihatkan industri pengiklanan di negara ini supaya memaparkan imej dan gambar masyarakat Malaysia dan Asia bagi mengimbangi wajah orang Europah yang terlalu banyak dipaparkan pada papan iklan mereka.
"Kita minta pihak industri, selain memfokuskan kepada nilai pengiklanan, mereka juga perlu menitik beratkan nilai estetika dan budaya masyarakat tempatan pada papan iklan dan adalah lebih baik jika mereka memperbanyakkan wajah orang Malaysia,” katanya.
Mengenai mesyuarat NKEA, Rais berkata pada 2012 industri kreatif mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, dengan hasil pendapatan sebanyak RM12 bilion berbanding RM11 bilion pada 2011.
Beliau berkata sektor pengiklanan mencatatkan peningkatan paling tinggi, dengan mencatatkan keuntungan sebanyak RM10 bilion sementara sektor eksport bagi industri perfileman termasuk drama, dokumentari dan animasi turut mencatatkan peningkatan sebanyak RM1.8 juta melibatkan 27 syarikat yang terlibat dalam industri tersebut.

Selasa, 4 Jun 2013

Tujuh Juta Pengguna Telefon Pintar Di Negara Ini Diancam

Kira-kira tujuh juta pemilik telefon pintar di negara ini diancam penggodam siber yang menjadikan ia instrumen dalam kegiatan penggodaman untuk menipu bagi mendapatkan wang. - Gambar Reuters

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Kira-kira tujuh juta pemilik telefon pintar di negara ini diancam penggodam siber yang menjadikan ia instrumen dalam kegiatan penggodaman untuk menipu bagi mendapatkan wang. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata kurangnya kesedaran terhadap risiko keselamatan telefon pintar menjadikan pengguna ini mudah disasarkan sebagai mangsa. 

“Modus operandi antaranya dijalankan dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dikenali sebagai ‘SMS Trojan’ kepada pengguna yang tanpa disedari kos dikenakan ke atas pengguna dengan hanya membalas sms berkenaan. 

Pengguna hanya menyedari perkara itu apabila mereka menerima bil telefon yang tinggi sedangkan mereka tidak menggunakannya,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini. 

Katanya, kegiatan itu juga dikesan dengan menipu menerusi aplikasi-aplikasi yang terdapat di dalam peranti (telefon bimbit) sebagai contoh aplikasi ‘Type-On’ yang sekiranya dimuat turun akan menyebabkan pengguna menanggung kos yang kononnya dikenakan selepas memuat turun aplikasi tersebut walaupun mangsanya telah menghentikan aplikasi berkenaan. 

‘Lookout Mobile Security’ yang dipetik dari agensi berita luar negara, AFP, menganggarkan pengguna di seluruh dunia mengalami kerugian jutaan dolar pada tahun lepas melalui virus ‘malware’ dan ‘toll fraud’ yang menyerang pengguna telefon pintar kerana mendapatkan aplikasi daripada sumber tidak rasmi berbanding sumber yang dipercayai seperti Apple atau Google ‘online shops’.

Syed Ismail berkata, berdasarkan statistik polis, kerugian yang direkodkan dalam tempoh Jan hingga September tahun ini bagi jenayah siber yang menggunakan modus operandi melalui SMS atau panggilan telefon, perbankan internet atau perbankan telefon, penggodaman dan salah guna rangkaian termasuk belian barangan adalah kira-kira RM21.8 juta. 

Katanya, kes belian barangan melalui internet mencatatkan kerugian tertinggi iaitu RM14.5 juta bagi 1,298 kes diikuti SMS atau panggilan telefon sebanyak RM3.4 juta (412 kes), 24 kes penggodaman (RM3.3 juta) perbankan internet atau perbankan telefon sebanyak RM590,000 (74 kes ). 

“Bagaimanapun bagi kes salah guna rangkaian tidak merekodkan sebarang kerugian memandangkan ia tidak melibatkan kerugian harta benda tetapi ia lebih kepada jenayah peras ugut terhadap mangsa seperti menggunakan gambar dan kata-kata mengugut. Ia mencatatkan sebanyak 25 kes,” katanya. 

Syed Ismail berkata, selain daripada tujuh juta pengguna telefon pintar, pengguna internet mudah-alih berjumlah 7.7 juta pengguna di Malaysia. Katanya polis akan merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan lanjut dan bekerjasama rapat dengan agensi itu. 

Justeru Syed Ismail berkata berdasarkan laporan yang pernah diterima, pengguna yang mendapati bil telefon mereka melambung tinggi tanpa sebab munasabah dengan penggunaannya hanya akan melaporkannya kepada syarikat telekomunikasi sekadar untuk membuat aduan dan mendapatkan penjelasan mengenainya tanpa membuat tindakan susulan.

“Dalam perkara ini, mereka juga boleh menyalurkan aduan mereka kepada SKMM sebelum tindakan sewajarnya diambil seperti mengenakan kompaun kepada syarikat telekomunikasi sekiranya didapati syarikat berkenaan mengenakan kadar bayaran tanpa alasan yang munasabah. 

“Melalui langkah ini juga mungkin dapat mengesan kewujudan kegiatan penipuan oleh penjenayah siber terhadap pengguna telefon pintar,” katanya. Dalam aspek penguatkuasaan, Syed Ismail berkata pihaknya berusaha untuk melengkapkan polis dengan kemahiran Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) dan berkongsi maklumat antara agensi lain, sama ada dalam mahupun luar negara. 

“Seiring dengan perkembangan jenayah siber semasa, penambahbaikan dari segi peralatan dan teknologi khas seperti perkakasan dan perisian harus sentiasa dikemaskini dalam memastikan langkah pencegahan yang lebih berkesan,” katanya. 

Katanya, masyarakat sendiri harus mempunyai ilmu tentang tahap keselamatan telefon pintar mereka dan bagaimana untuk mencegah sekaligus mengurangkan risiko daripada menjadi sasaran penjenayah siber yang sentiasa bekerja 24 jam mencari mangsanya. — Bernama