Khamis, 30 Mei 2013

Perkembangan Telekomunikasi Negara

DUNIA hari ini menyaksikan perkembangan dan perubahan yang pesat dalam teknologi telekomunikasi. Pelbagai inovasi dihasilkan sehingga membolehkan komunikasi dan interaksi manusia kini, lebih pantas, cepat serta berupaya melampaui batasan masa dan tempat.  Pencantuman dunia teknologi maklumat dan telekomunikasi menghasilkan pemesatan pembangunan teknologi canggih yang membawa dunia ke abad baru yang berasaskan teknologi maklumat. Telekomunikasi moden masa kini meliputi telefon, Internet, 3G (3rd Generation), WiFi (wireless-fidelity) dan lain-lain medium yang lebih sosfikated bagi menghubungkan manusia dengan perkakasan antaranya menggunakan satelit dan kabel fiber optik yang mampu menghantar, menyalur dan menerima isyarat atau maklumat dengan jelas.
Pada 24 Mac 2010, Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak semasa pelancaran Inisiatif Jalur Lebar Negara dan Perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) mengumumkan empat insentif dalam Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara maju. Langkah ini bertujuan untuk menjadikan Malaysia negara maju abad ke-21. Inisiatif NBI yang diterajui  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bermatlamat menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang berpengetahuan dan mewujudkan persekitaran ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020. Projek HSBB bermula pada tahun 2008 dengan kos keseluruhan mencecah RM11.3 billion dilaksanakan secara rasmi selepas termeterainya perjanjian di antara kerajaan dengan Telekom Malaysia (TM).  Empat kawasan awal yang diliputi perkhidmatan TM HSBB ialah Shah Alam, Subang Jaya, Taman Tun Dr. Ismail dan Bangsar.
Sejarah komunikasi manusia telah bermula sejak beribu-ribu tahun yang lampau dengan penggunaan pelbagai media seperti lakaran lukisan di dinding gua, api, air mahupun asap sebelum munculnya telekomunikasi moden selepas penciptaan telegraf dan telefon pada sekitar tahun 1870-an. Pada dasarnya telekomunikasi merupakan komunikasi elektronik jarak jauh sama ada satu atau dua hala yang didefinisikan sebagai sains berkaitan dengan penghantaran maklumat melalui talian telefon, gentian optik, gelombang mikro dan satelit.
Sejarah awal telekomunikasi negara bermula dengan sistem rangkaian telegraf pertama yang digunakan untuk menghubungkan pejabat Residen British di Kuala Kangsar dengan Pejabat Penolong Residen di Taiping terus ke pejabat Majistret di Matang, Perak pada 16 April 1876. Pada 1886, perkhidmatan talian telegraf yang menghubungkan di antara Kuala Lumpur, Melaka dan Singapura diperkenalkan. Perkhidmatan telefon pula mula diperkenalkan pada akhir tahun 1891. Menjelang 1895, terdapat 21 buah telefon di Kuala Lumpur yang disokong oleh kira-kira 400 batu talian telefon dan telegraf.
Selepas kemerdekaan negara pada tahun 1957, program pembangunan telekomunikasi menjadi antara agenda yang diberi perhatian oleh kerajaan dalam pembangunan negara.  Pada tahun 1963, selepas tertubuhnya Malaysia bidang komunikasi terus berkembang di negara ini. Sistem rangkaian jauh negeri Sabah dan Sarawak mula dilaksanakan dengan menggunakan gelombang mikro untuk membawa trafik telefon dan televisyen dari Kudat ke Kuching. Perhubungan di antara Sabah, Sarawak dan Semanjung Malaysia diwujudkan melalui litar kabel dalam laut Perhubungan Kawat Komanwel SEACOM.  SEACOM Bahagian Kuala Lumpur-Singapura-Kota Kinabalu dilancarkan pada 15 Januari 1965 oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.
Penerokaan dalam bidang telekomunikasi di Malaysia bermula pada awal 1970-an dengan pembinaan stesen satelit bumi di Kuantan, Pahang. Stesen yang dibina dengan kos RM9 juta ini dirasmikan pembukaannya pada 6 April 1970 oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra. Perasmian satelit bumi ini membuka lembaran baharu dalam sejarah telekomunikasi dan menandakan kemajuan dicapai dalam bidang perhubungan dengan dunia luar. Stesen satelit ini dihubungkan dengan satelit di ruang angkasa Lautan Hindi, INTELSAT 3, (Konsortium Satelit Telekomunikasi Antarabangsa) yang merentasi Malaysia dengan India, Indonesia, United Kingdom, Jepun dan Australia.  Pembukaan stesen satelit bumi ini membolehkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan siaran secara langsung detik bersejarah pelancaran dan pendaratan kapal angkasa Apollo di bulan.
Bagi memastikan pertumbuhan perkhidmatan telekomunikasi dan perkembangan penggunaan teknologi dalam sektor ini menyokong pembangunan negara sejajar dengan aspirasi nasional, Dasar Telekomunikasi Negara (DTN) dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 17 Mei 1994. Objektif DTN adalah untuk menyokong pencapaian matlamat Dasar Pembangunan Negara iaitu perpaduan negara dan integrasi nasional melalui penggalakan interaksi antara kaum dan wilayah berasaskan kemudahan dan perkhidmatan telekomunikasi. Selain itu, DTN bertujuan membantu pencapaian matlamat Wawasan 2020 ke arah mewujudkan masyarakat berpengetahuan dan bermaklumat melalui penggunaan rangkaian telekomunikasi yang moden dan canggih.
Sejak1987, banyak perubahan dan reformasi dalam sektor telekomunikasi telah dilakukan oleh kerajaan, yang menyaksikan pembabitan sektor swasta dalam pembentukan dan pembangunan prasarana telekomunikasi negara.  Jabatan Telekom Malaysia (JTM) yang telah ditubuhkan pada 1 April 1946 sebagai jabatan kerajaan telah diswastakan pada 1987 yang dikenali sebagai Syarikat Telekom Malaysia Berhad. Pada 1990, selepas diperbadankan dan disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur namanya ditukar kepada Telekom Malaysia Berhad. Melalui penswastaan dan liberalisasi sektor ini, perkembangan rangkaian yang pesat dan peningkatan mutu perkhidmatan telah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Hala tuju negara dalam memajukan bidang telekomunikasi, berada pada paksi yang tepat dengan mengutamakan teknologi satelit dalam usaha menaik taraf perhubungan luar negara. Satelit Asia Timur Malaysia, (MEASAT-1) dilancarkan dengan menggunakan Arianes-4 pada 13 Januari 1996, dikuti MEASAT-2 pada 13 November tahun yang sama dan MEASAT-3 pada 12 Disember 2006.  Sejajar dengan perkembangan teknologi yang kian pesat, pada 22 Jun 2009, MEASAT-3a dilancarkan bagi menjadi pelengkap kepada kemampuan MEASAT-3. Kini, Measat Satellitte Systems Sdn. Bhd. (Measat), mendahului industri komunikasi satelit Asia Pasifik dengan penyediaan landasan transmisi satelit serba guna yang paling berkuasa dan berpotensi daripada segi komersial.
Kedudukan negara dalam bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat (ICT), semakin terserlah di peringkat antarabangsa. Pengiktirafan pencapaian telekomunikasi oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), menunjukkan bahawa kedudukan Malaysia telah melonjak dari tempat ke-34 pada tahun 2009 melonjak kepada tempat ke-23 di dunia pada tahun 2010.
Sesungguhnya pada masa kini peranan telekomunikasi sangat penting dan amat mempengaruhi kehidupan seharian rakyat Malaysia. Sehubungan dengan itu, kerajaan terus memberikan fokus dalam membangunkan prasarana telekomunikasi negara agar dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira kedudukan lokasi atau taraf sosioekonomi.

Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein sedang membuat panggilan muhibbah kepada Ketua Menteri Sabah di Kota Kinabalu, Sabah selepas melancarkan pembukaan Perhubungan Kawat Komanwel Asia Tenggara (SEACOM)  Bahagian Kuala Lumpur-Singapura-Kota Kinabalu di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 15 Januari 1965.Perkembangan Telekomunikasi Negara
Perkembangan Telekomunikasi NegaraPerdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra sedang berucap pada Majlis Pelancaran Stesen Satelit Bumi, di Kuantan, Pahang pada 6 April 1970.
Menteri Perhubungan, Encik Sardon Jubir merasmikan pembukaan Ibu Sawat Automatik Telefon di Petang Jaya, Selangor pada 24 Ogos 1972.Perkembangan Telekomunikasi Negara
Perkembangan Telekomunikasi NegaraPerdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad bercakap menerusi telefon dipejabatnya dengan Presiden Suharto di Jakarta, Indonesia selepas melancarkan Projek Usahasama Pemasangan Kabel  Dasar Laut antara Malaysia-Indonesia pada 2 Mac 1985.

Artikel ini telah disiarkan di

majalah Dewan Siswa, Mei 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan