Rabu, 5 Jun 2013

Aduan Pengguna Dalam Industri Telekomunikasi



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, entri kali ini akan membincangkan berkenaan aduan pengguna dalam industri telekomunikasi. Pengguna adalah seseorang yang menggunakan barangan, alatan atau perkhidmatan yang dihasilkan oleh sesuatu industri. Namun kebanyakan pengguna sering kali mengadu atau mengkritik (komen-komen negatif) tentang kualiti, harga dan kelulusan sesuatu barangan itu. Justeru, saya Muhamad Fadhil bin Muhd Kasim dari Tawau, Sabah dalam entri kali ini akan membincangkan berkenaan "Aduan Pengguna Dalam Industri Telekomunikasi" 



Tahun 1999 semasa tahun saya d lahirkan, teknologi komunikasi sudah mula mencuri hati para pengguna baik di desa apatah lagi di kota. Menjelang tahun 2000 perlumbaan untuk memiliki alat-alat tekomunikasi yang canggih telah menjadi trend global dunia.  Masyarakat Malaysia juga tidak mahu tertinggal dalam keinginan menikmati kemudahan tersebut. Saya sendiri menggunakan alatan teknologi untuk menulis entri blog iaitu laptop. Saban hari, telah diperkenalkan alatan-alatan baru dan gajet-gajet terkini dalam dunia teknologi perhubungan. Contohnya baru-baru ini, Samsung telah memperkenalkan Samsung Galaxy S4 dengan bentuk yang lebih nipis dan kukuh disertakan dengan sistem peranti Android terkini yang memudahkan perhubungan dan komunikasi penggunanya. Apatah lagi dengan syarikat Sony yang memperkenalkan Sony Experia Z dengan permukaan lebar dan nipis. Menariknya tentang Sony Experia Z ini ialah badan alat ini kalis air dan mempunyai camera HD 13 Mega Pixel.



Namun, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk mengeksploitasi jenama syarikat telekomunikasi terkemuka seperti Samsung, Sony dan Nokia. Maka, terdapat alatan-alatan palsu dan tiruan dijual di pasaran dengan menggunakan nama syarikat telekomunikasi terbabit. Masalah besarnya apabila alatan palsu yang dibeli mudah rosak, dan syarikat rasmi alatan tersebut dipersalahkan seperti "lembu punya susu,sapi yang dapat nama". Untuk mencegah perkara seperti ini terjadi, pihak berkuasa harus bersikap lebih tegas dengan mana2 syarikat pengeluar alatan teknologi palsu dan cetak rompak. Bahkan, pengguna juga harus bijak memilih barangan yang elok dan tahan lama walaupun harga yang dikenakan agak mahal seperti pepatah "alah membeli, menang memakai".



Selain itu, pengguna sering mengadu tentang harga sesuatu gajet tersebut. Hal ini kerana kedai alatan telekomunikasi itu mengenakan harga yang lebih tinggi berbanding harga asal demi mengaut keuntungan dua kali ganda. Pihak kedai hendaklah bersikap jujur dalam berurus niaga. Justeru, bagi mengelakkan pembeli tertipu, wajarlah untuk pembeli tersebut merujuk terlebih dahulu daripada internet/laman sesawang rasmi syarikat telekomunikasi juga rakan-rakan yang telah membeli alatan tersebut terlebih dahulu. Ini membolehkan pembeli mengetahui harga sebenar alatan-alatan tersebut sebelum membuat pembelian.



Di samping itu, peniaga hendaklah bersikap peramah kepada pembeli. Jika pembeli berasa tidak senang dengan sikap segelintir peniaga yang sombong, maka secara tidak lansung pembeli melaporkan atau mengadu perkara tersebut kepada pihak bertanggungjawab. Oleh itu, peniaga wajar untuk bersikap lebih professional kepada pembeli mahupun pengguna.



Akhir sekali, syarikat telekomunikasi hendaklah memahami setiap kehendak pengguna dengan menyediakan tempat/laman sesawang khas untuk membuat aduan. Misalnya, syarikat telekomunikasi dan perkhidmatan mudah alih gergasi Malaysia iaitu DiGi bakal memperluaskan perhubungan radio di antara ambulans dan hospital di kawasan yang masih belum mempunyai liputan. Ini kerana mereka kerap kali mendengar rintihan ataupun cadangan daripada masyarakat luar bandar amnya.



|Ditulis oleh Muhamad Fadhil bin Muhamad Kasim, SMK Kuhara, Tawau, Sabah|
|Hak Cipta Terpelihara|

Tiada ulasan:

Catat Ulasan