Sabtu, 1 Jun 2013

Syarikat Telekomunikasi perlu sediakan Perkhidmatan yang Berkualiti

Berdasarkan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, pengguna berhak untuk mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti. Pengguna juga berhak untuk membuat aduan jika perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat telekomunikasi tidak memuaskan.

Menurut Akta Perlindungan Pengguna 1999, pengguna berhak untuk mendapatkan ganti rugi dalam bentuk pemulangan wang atau penggantian produk terhadap perkhidmatan yang tidak berkualiti.

Berdasarkan kepada aduan yang diterima oleh  Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), didapati aduan mengenai perkhidmatan telekomunikasi mengalami peningkatan yang berterusan.

Pada tahun 2006, sebanyak 1,297 aduan diterima, manakala pada tahun 2007 sebanyak 1,721. Pada tahun 2008 pula, sebanyak 2,136 aduan terhadap perkhidmatan telekomunikasi, dan tahun 2009, sebanyak 2,512 aduan diterima.

Dalam keadaan ini, sektor perkhidmatan telekomunikasi harus memainkan tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pengguna. Pihak yang memberi perkhidmatan telekomunikasi harus memberikan maklumat yang terperinci tentang sesuatu perkhidmatan yang ditawarkan supaya pengguna lebih memahaminya.

Pihak yang bertanggungjawab ini juga hendaklah memastikan bahawa tiada sebarang maklumat yang mengelirukan disalurkan kepada pengguna. Jikalau menerima sebarang aduan, pihak perkhidmatan telekomunikasi hendaklah bertindak dengan segara dan secara adil bagi memelihara hak pengguna.

Pada zaman ini, pelbagai pihak menjalankan berbagai-bagai aktiviti bagi memberi kesedaran tentang hak-hak pengguna. Walaupun ini masih tidak mencukupi untuk menyedarkan pengguna secara keseluruhan, namun perubahan dilihat di kalangan pengguna. Salah satu bukti perubahan ini adalah daripada peningkatan aduan terhadap perkhidmatan telekomunikasi ini. 

Pengguna juga harus sedar bahawa mereka mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat yang terperinci sebelum membeli sesuatu perkhidmatan telekomunikasi. perkhidmatan tersebut tidak berkualiti, pengguna mempunyai hak untuk membuat aduan serta mendapatkan ganti rugi. Pengguna juga dinasihatkan supaya berhati-hati semasa membeli sesuatu perkhidmatan Telekomunikasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan