Jumaat, 7 Jun 2013

Panggilan Terputus – Ketahui Hak Anda

Masing-masing sudah mengetahui 3 syarikat telekomunikasi utama di negara ini dikompaun RM190,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana melanggar syarat lesen mereka, terutama berkaitan panggilan terputus yang mendapat aduan ramai.
Pastinya, penulis merasakan pengalaman panggilan terputus sering terjadi kepada mana-mana individu yang menggunakan telefon bimbit. Kalau ikutkan pecahan kompaun kita boleh saksikan angka berikut yang dikenakan ke atas 3 syarikat telekomunikasi tersebut:
1. DiGi Telecommunications Sdn Bhd: RM100,000 (4 kompaun)

2. Celcom Axiata Berhad: RM60,000 (3 kompaun)
3. Maxis Mobile Services Sdn Bhd: RM30,000 (2 kompaun)

Sebagai pengguna, anda perlu memahami hak anda terutama berkaitan teknologi dengan segera memaklumkan kepada agensi SKMM kalau tidak berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan. Hak yang kita peroleh perlu dipandang serius memandangkan setiap sen yang kita bayar kepada syarikat telekomunikasi ada nilainya. Kalau kita biarkan ia berlaku, mungkin naik 'lemak' syarikat membuli kita.
Bayangkan untung sebelum cukai 3 syarikat ini iaitu DiGi sebanyak RM2,9 bilion, Celcom RM3.45 bilion dan Maxis RM4,395 bilion sudah membayangkan betapa syarikat-syarikat ini mengaut keuntungan dan ada kemungkinan keuntungan itu terhasil daripada hak yang sepatutnya kita pertahankan tetapi dibiarkan begitu saja.
Memang ada faktor tertentu yang mengundang masalah panggilan terputus. Masalah yang memberi kesan kepada syarikat telekomunikasi seperti cabaran lokasi tapak rangkaian, geografi dan protes pembinaan menara telekomunikasi di kalangan penduduk vandalisme serta kecurian memang ada yang menjejaskan operasi mereka tetapi ia bukan alasan untuk tidak mempergiatkan usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Jika anda mengalami apa-apa masalah berkaitan syarikat telekomunikasi, langkah yang perlu diambil melayari laman web SKMM dan kemudiannya segera ke ruang menu dan cari ikon 'Dropped Calls' dan klik pada 'Make a Complaint'. SKMM menempatkan borang yang boleh diisi terus di bawah senarai 'Dropped Call Feedback'.
Antara maklumat diperlukan termasuk nama, alamat emel, nombor telefon dan operator yang anda gunakan. Maklumat yang penting sebenarnya ialah anda perlu ingat lokasi tempat panggilan anda sering terganggu secara tepat (boleh dilihat di Google Maps). Lengkapkan ia dengan nama bandar, kampung, alamat jalan dan lebih baik anda rakam foto lokasi tempat ia berlaku. Kalau lokasinya berubah, ambil beberapa foto.
Ada juga pilihan memasukkan maklumat latitud dan longitud lokasi tetapi ia bukanlah penting dan tidak mandatori seperti maklumat di atas.
Hak kita sebenarnya dilindungi undang-undang. Terdapat dua jenis hak termasuk 'hak anda sebagai pengguna' dan 'hak untuk menyelesaikan aduan'
Dalam hak anda sebagai pengguna, anda berhak untuk mendapat perkhidmatan yang memuaskan daripada pemberi perkhidmatan anda. Semua Pemberi Perkhidmatan Komunikasi & Multimedia dikehendaki berurusan secara munasabah dengan pengguna dan menyelesaikan aduan pengguna menurut Kod Amalan Pengguna Am (KAPA).
KAPA adalah kod amalan kawal selia kendiri industri yang berdaftar dengan SKMM. KAPA digubal oleh CFM untuk menggalakkan piawaian etika perniagaan dan tatalaku paling tinggi menerusi urus tadbir kendiri.
Manakala hak untuk menyelesaikan aduan termasuk jika anda tidak mendapat perkhidmatan komunikasi yang memuaskan, anda hendaklah menangani rasa tidak puas hati anda dengan segera. Anda BERHAK untuk menangani sebarang rasa tidak puas hati atau menyelesaikan masalah yang anda hadapi dengan Pemberi Perkhidmatan talian telefon tetap, telefon mudah alih, internet, televisyen, radio dan kandungan mudah alih. Jika Pemberi Perkhidmatan anda tidak menyelesaikan aduan anda dengan memuaskan, anda boleh mendapatkan bantuan kami untuk mencari jalan PENYELESAIAN.
Dalam masalah berkaitan syarikat telekomunikasi selain SKMM juga, anda boleh menemui Forum Konsumer Malaysia (CFM) yang ditubuhkan pada bulan Februari 2001 sebagai sebuah persatuan yang mewakili semua pihak yang berkaitan, termasuk pihak yang terbabit dengan "bekalan dan permintaan" dalam industri komunikasi dan multimedia. CFM ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai Forum Komunikasi dan Multimedia pada 2002 untuk melindungi hak pengguna dalam sektor tersebut. Ini adalah selaras dengan keperluan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) untuk memudahkan kawal selia kendiri industri.

1 ulasan: