Sabtu, 1 Jun 2013

Aduan Ke Atas Perkhidmatan Komunikasi & Multimedia Paling Tinggi Tahun Lalu (mStar Online)

KUALA LUMPUR: Daripada 34,381 aduan pengguna yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) sepanjang tahun 2010, sektor komunikasi dan multimedia mencatatkan aduan tertinggi dengan jumlah aduan sebanyak 3,102 kes.
Ia meliputi perkhidmatan Internet dan jalur lebar yang kurang bermutu di sebalik promosi hebat oleh syarikat telekomunikasi, gambaran yang salah, khidmat pelanggan yang teruk dan aduan terhadap langganan televisyen berbayar iaitu harga dan bil, selain gangguan siaran pada waktu hujan.
Senarai aduan pengguna itu diikuti dengan aduan terhadap sektor produk dan perkhidmatan, sewa beli, institusi kewangan, automobil, kenderaan awam (bas, tren dan kapal terbang) dan perumahan.
Jumlah kerugian keseluruhan yang ditanggung oleh pengguna mencecah kira-kira RM250 juta gara-gara rungutan dan ketidakpuasan terhadap produk dan perkhidmatan pada tahun lalu.
Pengurus Kanan NCCC, M. Matheevani berkata, jumlah aduan pengguna bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini dilaporkan meningkat berbanding tahun lalu.
Sehingga September lalu, pihaknya telah menerima lebih 30,000 aduan.
“Pada tahun lalu, sektor komunikasi dan multimedia menerima aduan tertinggi dengan jumlah aduan sebanyak 3,102 kes.
“Bagaimanapun, trend tersebut berubah pada tahun ini. Sektor bekalan tenaga dan elektrik dijangka menerima aduan tertinggi khususnya dalam kes bacaan meter yang tidak tepat dan dakwaan terhadap pengubahsuaian bacaan meter. Aduan terhadap sektor itu berada pada tangga ke-11 pada tahun lalu.
“Sektor lain yang dijangka menerima 10 senarai aduan tertinggi pada tahun ini termasuklah perkhidmatan seperti kecantikan dan program-program pelangsingan, komunikasi dan multimedia, perbankan, automobil dan kenderaan awam,” katanya yang ditemui pada majlis Fifth ComplaintFest 2011 di sini.
Beliau menganggap peningkatan jumlah aduan itu bertitik-tolak daripada peningkatan tahap kesedaran dan rungutan yang direkodkan terhadap pihak industri yang mendatangkan lebih banyak kerugian kepada pengguna.
Sementara itu, Pengerusi NCCC Datuk N. Marimuthu yang menyerahkan laporan berkenaan pada Seminar dan Pelancaran Laporan Tahunan NCCC berkata, mekanisme penebusan haruslah bertepatan dan mutu perkhidmatan dan produk juga perlu ditingkatkan.
“Pada tahun lalu, pengguna mengalami kerugian terbesar iaitu RM102.95 juta dalam sektor perumahan dan diikuti oleh sektor automobil sebanyak RM89.76 juta,” katanya dalam laporan tersebut.
Laporan tahunan yang menggariskan beberapa cadangan untuk pelbagai industri itu turut menyenaraikan beberapa aduan pengguna termasuk projek perumahan yang terbengkalai, perkhidmatan pengguna yang lemah, barang ganti automobil yang rosak, bayaran tidak munasabah oleh institusi kewangan, penyalahgunaan kad kredit, pembaharuan keahlian secara automatik, penyaluran maklumat yang mengelirukan dan pertikaian bil.
Ketua Pegawai Operasi NCCC, Datuk Paul Selvaraj pula berkata pihak industri harus menerima aduan-aduan tersebut daripada sudut positif kerana ia akan membantu mengekalkan dan meningkatkan kumpulan pengguna dan sikap pembelian semula produk dan perkhidmatan jika aduan tersebut dapat diatasi.

Dipetik daripada mStar Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan