Isnin, 3 Jun 2013

Syarikat Telekomunikasi Bermaharajalela


Entah kenapa syarikat Telekomunikasi masih di beri ruang untuk bermaharajalela. SKMM taring tidak ada. Cakap banyak ada.

SKMM beri amaran keras

CYBERJAYA 13 Dis. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memberi kata dua kepada syarikat telekomunikasi untuk menyelesaikan segera masalah talian telefon mudah alih yang tiba-tiba terputus (dropped calls) atau berdepan tindakan undang-undang.


Ketua Pegawai Pembangunan Industri dan Sumber Perancangan SKMM, Datuk Ali Hanafiah berkata, pihaknya ada menerima aduan berhubung masalah itu daripada pengguna dan akan mengambil tindakan segera dengan menjalankan ujian di kawasan-kawasan yang dinyatakan pengadu...

Menurutnya, selepas aduan dan ujian dilakukan, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi terlibat dan hasil ujian itu akan dibincangkan bagi mencari jalan penyelesaian.

Tambah beliau, SKMM mengambil perhatian berhubung perkara itu dan syarikat telekomunikasi perlu membuat penjelasan terperinci kepada setiap pelanggan dalam segala hal supaya mereka lebih faham dengan prosedur serta perkhidmatan yang ditawarkan. 

"Kebiasaannya, selepas pihak syarikat mengetahui masalah-masalah membabitkan perkhidmatan mereka, tindakan segera akan diambil.

"Tetapi sekiranya gagal berbuat seperti diarahkan, SKMM tidak teragak-agak mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengikut kesalahan-kesalahan tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Ibu Pejabat SKMM di sini, bagi menjelaskan berhubung isu tersebut yang semakin mendapat perhatian banyak pihak.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya pada Rabu lalu melaporkan mengenai masalah talian telefon mudah alih tiba-tiba terputus itu yang semakin teruk di negara ini.

Dalam masa sama, Ali menjelaskan, masalah dropped calls dan talian tersekat itu berpunca daripada isyarat selular syarikat telekomunikasi yang lemah.

Menurut beliau, punca kelemahan isyarat itu dikesan SKMM menerusi ujian penilaian kualiti rangkaian bersistem secara bergerak menggunakan kenderaan yang dijalankan setiap sebulan sekali di seluruh negara.

Dalam ujian itu, katanya, telefon mudah alih yang disambung dengan komputer bersistem diletakkan dalam rangkaian (mode) teknologi 2G dan 3G digunakan bagi mengenal pasti isyarat lemah, kuat atau tergendala melalui panggilan demi panggilan sepanjang perjalanan.

Ujar beliau, SKMM menjalankan ujian itu di lebuh raya dan jalan utama di seluruh negara melibatkan tiga kualiti rangkaian syarikat telekomunikasi berdasarkan aduan-aduan pengguna iaitu DiGi Telecommunication Sdn. Bhd. (DiGi), Maxis Berhad (Maxis) dan Celcom Axiata Bhd. (Celcom).

"Berdasarkan ujian itu, bagi suku pertama dan suku kedua tahun ini, SKMM mendapati kualiti rangkaian yang merangkumi isyarat lemah, kuat dan tergendala ketiga-tiga syarikat telekomunikasi tersebut berbeza-beza di semua kawasan seluruh negara.

"Hasil kajian itu turut mendedahkan, sesetengah kawasan DiGi, Celcom dan Maxis mengalami masalah talian terputus dan talian tersekat," katanya.

Ditanya mengenai maksud jawapan 'sedang menaik taraf' tanpa membuat penjelasan terperinci yang sering digunakan syarikat telekomunikasi, Ali menjelaskan, terdapat tiga perkara utama berhubung maksud menaik taraf tersebut.

"Pertama menaik taraf rangkaian telefon berteknologi 2G kepada 3G, keduanya memperluaskan skop rangkaian untuk pengguna talian telefon mudah alih yang semakin bertambah iaitu kini sebanyak 37 juta pelanggan dan ketiga, memperluaskan rangkaian antara talian sebuah syarikat telekomunikasi kepada syarikat telekomunikasi yang lain (inter-network)," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, DiGi pada November lalu didenda sebanyak RM20,000 kerana gagal mematuhi salah satu lesen perjanjian di bawah Seksyen 242 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua syarikat telekomunikasi supaya memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna bagi mengelakkan dikenakan tindakan serupa. - UTUSANONLINE


MALAYSIA NEWS SKMM CELCOM MAXIS DIGI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan